Tujuan utamanya adalah untuk menjalankan kajian awal (pilot study) bagi menguji content validity soalan-soalan bagi kertas soalselidik saya. Namun memandangkan terdapat 2 program akademik yang turut dianjurkan oleh UiTM Malaysia pada bulan yang sama, sudah tentu kepulangan ini akan dimanfaat dengan sebaik-baiknya dengan turut serta di dalam acara tersebut.
1. Doctoral Colloquium - 15 Jun, 2009
Sesi dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dekan Fakulti Perakaunan, UiTM Malaysia.


Terdapat 4 sesi serentak (concurrent sessions) yang dijalankan dan dibahagikan mengikut 4 tema yang berbeza. Bagi setiap sesi, 2 panel luar telah dilantik bagi memberikan pendapat serta komen di atas kertas kajian yang dibentangkan.
Ada yang membentangkan kertas cadangan penyelidikan mereka serta ada juga yang berkongsikan cadangan metodologi bagi kajian yang sedang mereka jalankan. Saya hanya membentangkan satu daripada beberapa pembolehubah kajian (variable of study) saya. Panel bagi sesi saya merupakan seorang Profesor perakaunan dari USM manakala panel kedua pula, merupakan seorang pakar kajian forensik perakaunan dari University of Teesside, UK.
Respons yang diberikan amat baik sekali dengan setiap pembentang turut disertakan sekali dengan komen-komen bertulis. Ini sudah tentu dapat menambahbaik kajian yang sedang dijalankan memandangkan saya mendapat input berharga dari dua perspektif yang berbeza.
2. The International Asia-Pacific Conference on Forensic Accounting and Financial Criminology - 16 dan 17 Jun 2009
Saya hadir di Menara KL hanya sebagai peserta bagi acara yang merupakan sebahagian dari sesi Doctoral Colloquium pada hari sebelumnya.
Terdapat input-input berguna yang dapat dimanfaatkan di dalam kajian saya nanti. Acara ini turut dihadiri oleh mereka di kalangan badan-badan profesional, PDRM, Lembaga Percukaian, Suruhanjaya Sekuriti dll.
Tetapi, yang paling menggembirakan adalah apabila dapat bertemu dengan rakan-rakan yang turut menyambung pengajian PhD seperti Halim Kadri, Sufiawati, Saunah, Yuseri, Nik Zam, Aida, Azlina dan Izwan (UNITEN), rakan-rakan pengajian semasa di UniSA, South Australia dahulu serta staf-staf Fakulti Perakaunan UiTM Malaysia, UiTM Johor serta dari kampus-kampus cawangan yang lain.


Namun, pengalaman yang paling menarik sekali ialah dapat menjamu selera di restoran berputar di Menara KL tersebut untuk makan tengahari. Sungguh-sungguh menyelerakan dengan hidangan timur, barat serta dessert yang aduhhhhhh melecurkan air liur. Mentang-mentang lah saya ni yang dah setahun di perantauan. Pakej makan bagi seorang dewasa ialah RM70++ manakala kanak-kanak pula RM40++.
Bila kala dapat makan sedap kalau tak ke konferen sebegini....


3. Kajian awal (Pilot study) - 16 & 18 Jun 2009
Alhamdulillah, objektif utama saya di Malaysia tercapai sudah.
Saya menghadiri sesi latihan ahli-ahli sebuah badan profesional yang mana ahlinya bakal menjadi responden kajian saya kelak. Sesi tersebut diadakan di sebuah hotel terkemuka di segitiga emas KL. Saya diperkenalkan oleh Pengarah Teknikal badan tersebut yang turut mengiringi saya malah turut sama menghantar saya ke hotel tersebut dengan menaiki kereta beliau (lari sekejap meninggalkan sesi di Menara KL untuk ke hotel tersebut).
Kertas-kertas soalselidik kajian awal diedar kepada mereka dan saya kembali untuk mengambilnya semula pada hari terakhir sesi tersebut (18 Jun 2009). Ini merupakan saranan dari Pengarah Teknikal itu sendiri, memandangkan sesi latihan bagi ahli-ahli badan profesional itu amat padat, ditambah lagi saya tidak mahu memaksa mereka untuk mengisi soalselidik itu dengan serta merta, ditakuti terdapat masalah self-response bias pula.
Respons yang diterima di kalangan ahli-ahli tersebut amat baik sekali. Syukur, ini bermakna soalselidik itu dapat digunakan untuk sesi pengambilan data sebenar nanti.
Secara peribadi, saya amat bersyukur kerana di pertemuan empat mata dengan Pengarah Teknikal itu membawa rahmat tersendiri. Pertamanya, beliau juga merupakan seorang pelajar PhD yang belajar secara separuh masa di Fakulti Perakaunan, UiTM Malaysia. Secara peribadi, beliau mengetahui serta lebih memahami permasalahan yang dihadapi oleh seorang pelajar PhD lebih-lebih lagi ketika proses pengumpulan data.
Beliau turut memberitahu saya yang badan tersebut sedia membantu dengan menyerahkan soalan-soalan soalselidik saya secara terus kepada ahli-ahli mereka. Saya cuma harus memastikan bahawa dokumen-dokumen (soalselidik, surat, sampul surat, dan setem) adalah lengkap sebelum proses serahan dibuat oleh pihak mereka. Ini sudah tentu satu berita yang amat menggembirakan kerana ini bakal memudahkan usaha saya kelak. Alhamdulillah.
Semoga usaha-usaha saya dan rakan seperjuangan yang lain turut dipermudahkan Allah hendaknya.

No comments:
Post a Comment