Contengan mural yang tidak diingini ini jelas kelihatan di bangunan-bangunan awam, sekolah, perhentian bas serta di bangunan kedai. Kenderaan pengangkutan awam juga tidak terkecuali. Pandangan anda hampir terhalang dek kerana goresan yang dilakukan ke atas cermin tingkap bas atau keretapi yang sedang anda naiki. Pelaku ini menggunakan cecair cat penyembur tin ke atas bangunan atau secara goresan (mungkin menggunakan duit siling) sekiranya dilakukan ke atas cermin tingkap kenderaan pengangkutan awam.
Pihak berkuasa tempatan di WA mengambil berat akan permasalahan ini. WA secara keseluruhannya membelanjakan hampir AUD25 juta setahun manakala, City of Joondalup Council (PBT kawasan saya) pula terpaksa membelanjakan sehingga AUD330,000 setahun untuk membersihkan graffiti di kawasan majlis mereka. City of Joondalup Council ini juga adalah PBT yang pertama di WA yang menawarkan bayaran tunai sebanyak AUD500 bagi mereka yang membawa kepada pendakwaan pelaku yang bertanggungjawab.
Hukuman yang dikenakan kepada pelaku yang didapati bersalah ini dikira berat juga. Kesalahan graffiti di WA ini dikira sebagai kesalahan vandalism harta awam. Bagi kesalahan pertama, ianya membawa kepada hukuman selama 1 tahun penjara dan denda maksimum sehingga AUD12,000. Ada ura-ura di pihak Parti Liberal (parti baru sekarang) untuk menggubal undang-undang yang lebih berat lagi.
Namun, di sebalik itu masalah graffiti tetap dan terus berlaku.
Terbaru, ianya dilakukan oleh makhluk mat saleh ni di dinding luar tembok rumah yang saya diami ini. Ianya merupakan pertama kali kami hadapi sepanjang 11 bulan menyewa di sini. Grafitinya amat jelas kelihatan, namun tulisannya sukar untuk dibaca. Sememangnya tembok luar yang memisahkan rumah kami ini dengan jalan raya (ditambah pula ianya juga adalah bersebelahan dengan laluan pejalan kaki), merupakan lokasi yaang amat sesuai bagi pelaku graffiti ini.


Kejadian ini saya sedari pada hari Isnin (22 hb) yang lepas, ketika mengambil anak pulang dari sekolah. Saya terus membuat laporan kepada City of Joondalup Council secara online melalui laman web PBT tersebut. Selesai membuat laporan secara online, saya hubungi Polis melalui nombor yang diberikan di laman web tadi. Akhirnya, pada hari ini saya dapati (tanpa saya sedari pun) graffiti tersebut telah dicuci oleh pihak kontraktor yang dilantik oleh PBT.
Dinding tembok kini kembali seperti sediakala, dan kembali menggoda pelaku-pelaku graffiti untuk menunjukkan bakat mereka.
Namun, tiada apa yang perlu saya risaukan kerana saya pasti masalah itu akan diatasi oleh mereka yang dipertanggungjawabkan.

No comments:
Post a Comment