The PhD journey has ended... : (

Thursday, April 9, 2009

Confirmation of Candidature

Syukur...

Email tentang berita ini diketahui lewat malam tadi. Berita ini memang sentiasa dinanti-nantikan semenjak permohonan untuk proses 'Confirmation of Candidature' ini dibuat secara online di laman web ECU pada 21 Mac yang lepas.

Proses ini sebenarnya bermula seawal bulan Disember tahun lepas (3.12.2008) ketika membentangkan kertas cadangan penyelidikan tempohari. Sejurus selepas hari pembentangan tersebut, pandangan dan komen-komen dari 2 penilai luar yang dilantik oleh penyelia utama sering ditunggu-tunggu. Sebelum ini, saya sendiri tidak menyangka akan membentangkan cadangan penyelidikan hanya setelah 5 bulan memulakan pengajian.

Gementar dan gembira. Pemikiran pada masa itu, lebih cepat lebih baik. Diambilkira pula yang penyelia utama akan memulakan cuti sabatikalnya tidak lama lagi di South Australia. Beliau sendiri yang menyarankan supaya saya cepat-cepat bersedia untuk membuat pembentangan. Saya fikir mungkin dalam masa satu atau dua bulan selepas pembaikan dibuat, cadangan penyelidikan saya akan diluluskan oleh pihak Ethics Commitee.

Namun jangkaan saya meleset!

Dek kerana terkesima dan teruja, tak terfikir pula pada masa itu, ECU akan menghadapi cuti hujung tahun yang panjang. Dua bulan lebih lamanya...

Komen dari Penilai pertama diterima satu bulan setelah hari pembentangan, manakala komen dari Penilai kedua pula dua bulan selepas itu!

Pembetulan demi pembetulan dibuat dan proses ini juga memakan masa kerana memerlukan pertimbangan dan kelulusan dari kedua-dua penyelia pula. Lebih mengharukan, di saat saya amat memerlukan, penyelia utama pula sedang bercuti sabatikal selama 6 bulan. Oleh itu hubungan adalah melalui emel sahaja beserta surat. Ya, surat kerana draf pebetulan yang telah saya buat akan dihantar kembali melalui pos oleh beliau. Tentu ianya juga memakan masa.

Ditambah lagi proses untuk kelulusan ini terbahagi kepada 2 bahagian yang memerlukan borang yang berbeza, dokumen-dokumen sokongan serta kelulusan dari ketua jabatan fakulti yang berkenaan.

Setelah permohonan diajukan, dua komen diterima pula dari penilai Ethics Committee yang perlu juga diperjelaskan.

Namun saya pasrah. Allah telah tentukan.

Bermulalah episod baru di dalam pengajian PhD ini, kerana ini bermaksud kerja-kerja pencarian data telah dibenarkan oleh pihak jawatankuasa tersebut. Kerja-kerja penulisan draf thesis juga harus disegerakan.

Semoga Allah permudahkan urusan pengajianku ini beserta teman-teman seperjuangan yang lain. Amin

2 comments:

  1. Salam Syah,

    Tahniah diucapkan. Saya juga mengaminkan do'a Syah. Amiin.

    ReplyDelete
  2. Salam.

    Tahniah... dan Amiin..

    HishamMB

    ReplyDelete